Hampa.. itu saja yang dapat wak katakan atas kekalahan selangor di Piala Sultan Selangor.... tapi kira ok lah.. veteran menang 1-0.. huhu... ape pun tetap x puas hati..
SHAH ALAM: Hasrat Selangor merampas kembali Piala Sultan Selangor daripada Singapura bagi mengubati kegagalan ke separuh akhir Piala Malaysia selepas tewas kepada Kelantan pada suku akhir kedua Jumaat, tidak kesampaian apabila tewas 0-6 pada perlawanan edisi kesembilan itu di Stadium Shah Alam, Sabtu. Singapura yang dibarisi ramai pemain import, nyata bijak memanfaatkan peluang dan menguasai hampir keseluruhan permainan, ketika pemain Selangor kelihatan agak longlai serta kepenatan, mungkin berpunca daripada kekalahan mereka di Kelantan sebelum ini.
Penguasaan Singapura bermula seawal minit perlawanan apabila tandukan cantik kapten pasukan Aleksandar Duric menewaskan penjaga gol Selangor Iqbal Suhaimi, selepas menerima bola hasil hantaran silang Juma'at Jantan.
Singapura terus menambah derita Selangor apabila Mendy Frederic mudah melepasi dua pemain pertahanan Selangor dan menendang masuk bola ke dalam gawang gergasi Merah Kuning pada minit ke-10.
Ketika perlawanan berbaki dua minit pada separuh masa pertama, Frederic sekali lagi menewaskan Iqbal yang kelihatan tidak cukup bersedia memikul tanggungjawab sebagai penjaga gol utama pada perlawanan itu.
Selangor yang cuba bangkit pada separuh masa kedua, dikejutkan sekali lagi dengan jaringan pada minit ke-46 hasil tendangan Ivan Jerkovic dari hujung kotak penalti, yang meletakkan Singapura mendahului 4-0. Derita gergasi Merah Kuning semakin terasa apabila Juma'at Jantan menjaringkan gol kelima Singapura menerusi tendangan mudah yang menembusi gawang Selangor pada minit ke-76.
Singapura ternyata tidak berpuas hati untuk pulang dengan lima gol apabila Duric menjaringkan gol keenam pasukan itu dengan kembali menewaskan Iqbal pada minit-minit terakhir perlawanan, sebelum pengadil meniupkan wisel penamat.
Terdahulu, kekecewaan Selangor sedikit terubat apabila pasukan veterannya berjaya menebus kekecewaan pada tahun lepas apabila menewaskan veteran Singapura 1-0 hasil jaringan Shahrin Majid pada minit ke-38.
Dalam perlawanan berbaki dua minit pada masa perlawanan sebenar (20 minit untuk setiap separuh masa), pergerakan cantik Annuar Abu Bakar yang membawa masuk bola ke dalam kotak penalti, berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan dan Shahrin yang berada di hadapan gol, dengan tenang menendang masuk bola ke dalam gawang Singapura.
Bagaimanapun, beliau kemudian dilayangkan kad kuning kerana bertindak membuka baju semasa meraikan jaringannya itu.
Pada perlawanan di Stadium Jalan Besar, Singapura tahun lepas, pasukan veteran negara itu menewaskan Selangor 4-1 melalui sepakan penalti.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan untuk berangkat menyaksikan perlawanan dan menyampaikan piala serta wang tunai kepada pemenang.Pada perlawanan itu juga, penonton dihiburkan dengan persembahan artis tempatan iaitu Jamal Abdillah, David Arumugam dan Francesca Peter.-BERNAMA
0 0 Pengutuk:
Post a Comment